JEDDAH: Seorang jemaah dari Perancis, Nabil Ennasri baru-baru ini tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji dengan menaiki basikal.
Nabil menempuh perjalanan sejauh 5,000 kilometer bermula dari Paris pada 22 April lalu dengan merentasi 11 negara termasuk Itali, Slovenia, Croatia, Montenegro, Bosnia dan Herzegovina, Albania, Greece, Jordan dan Turkiye.
Nabil bekerja sebagai penulis dan aktivis yang sering memperjuangkan isu berkenaan sosial, termasuk diskriminasi dan pendidikan.
Lelaki berusia 41 tahun itu sering mengemas kini perjalanannya ke Mekah.
Kemuncaknya tiba apabila Nabil berkongsi gambar Masjid Nabawi ketika tiba di Madinah.
“Sukar untuk saya ungkapkan perasaan ini, saya berasa amat bersyukur kerana diberi kudrat untuk meneruskan kayuhan dan akhirnya tiba di tanah suci.
“Saya juga terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pelbagai pihak, dan juga sokongan mereka,” katanya.
Nabil juga memaklumkan, perjalannya ke Mekah dengan basikal diharap dapat meningkatkan kesedaran pelbagai pihak mengenai pemanasan global yang ketika ini sudah pun menyebabkan pelbagai masalah.