NEW DELHI: Polis India sedang menyiasat kes penipuan melibatkan seorang lelaki yang menginap hampir dua tahun di hotel lima bintang tanpa membuat sebarang pembayaran.
Lapor The Guardian, lelaki berkenaan yang menggunakan nama Ankush Dutta menempah bilik di hotel Roseate House di Delhi pada 30 Mei 2019 dan sepatutnya mendaftar keluar pada hari berikutnya.
Tetapi Dutta dilaporkan melanjutkan penginapannya selama 603 malam sehingga 22 Januari 2021, dengan bil yang belum dibayar mencecah AS$70,000 (RM327,203).
“Akaun dipalsukan untuk menyembunyikan tunggakan sebenar melalui pelbagai cara seperti memendekkan maklumat tarikh penginapan dan memindahkan namanya ke dalam bil tetamu lain yang sudah diselesaikan.
“Tetamu itu juga memberikan resit dan cek palsu antara AS$853 (RM3,991) dan AS$1,097 (RM5,131) yang tidak dapat ditunaikan,” jelas aduan polis, dipetik akhbar Indian Express.
Pengurus hotel juga memfailkan aduan polis terhadap beberapa kakitangannya yang didakwa turut terlibat dalam konspirasi penipuan tersebut.
Pihak pengurusan mengesyaki kakitangannya sudah disogok untuk memanipulasi sistem perisian dalaman hotel berkenaan bagi mengaburi pihak atasan selama hampir dua tahun.