STOCKHOLM: Lelaki yang menghina al-Quran dengan membakar kitab suci itu di luar sebuah masjid utama di ibu negara Sweden, merancang mengulangi perbuatan biadap itu.
Salwan Momika memaklumkan dia merancang untuk membakar sebuah lagi al-Quran dalam masa 10 hari di hadapan kedutaan Iraq di Stockholm.
Menurut Salwan, dia sedar perbuatannya akan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Malah, dakwanya, setakat ini, dia juga sudah menerima ribuan ugutan bunuh disebabkan perbuatannya.
Bagaimanapun, Salwan berkata, dia sedang merancang tindakan selanjutnya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Saya akan membakar bendera Iraq dan al-Quran di hadapan kedutaan Iraq di Stockholm dalam masa 10 hari lagi,” katanya kepada akhbar Expressen.
Rabu lalu, Salwan memperoleh permit daripada polis Sweden untuk membakar naskhah Al-Quran di hadapan sebuah masjid di Stockholm.
Menurut pihak berkuasa, keputusan membenarkan protes demikian dilakukan adalah berdasarkan hak kebebasan bersuara.
Salwan kini berdepan tuduhan dengan niat mencetuskan `provokasi terhadap kumpulan etnik’.
Tindakan yang dilakukan oleh pelarian dari Iraq itu atas alasan mahu memperjuangkan kebebasan bersuara.
Perbuatan biadab dilakukan lelaki berkenaan di luar masjid di Stockholm ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – AFP