LONDON: Satu data mendedahkan kenderaan mewah jenama Land Rover menjadi kereta paling banyak dicuri di Britain.
Malah, satu dalam setiap 100 model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah itu dilaporkan dicuri pada tahun lalu.
Berdasarkan data dari laman confused.com, kenderaan Land Rover adalah tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk dicuri berbanding jenama Mercedes Benz.
Lapor Daily Mail, Mercedes Benz menjadi pilihan kedua bagi kumpulan penjenayah, dengan sebanyak 323 kereta dicuri bagi setiap 100,000 unit model.
Daripada jumlah 896,948 kenderaan Land Rovers berlesen di United Kingdom (UK), sebanyak 8,284 buah kereta jenama itu sudah dicuri pada tahun berakhir Mac 2023.
Terdapat kebimbangan berterusan mengenai kenderaan pacuan empat roda yang semakin disasarkan.
Ia berikutan data terkini daripada syarikat insurans AA menunjukkan kes kecurian kereta meningkat sebanyak 25 peratus.
Sementara itu, Ford berada pada kedudukan ketiga dalam senarai jenama kereta paling banyak disasarkan oleh pencuri.
Ia diikuti dengan BMW pada tempat keempat dan Audi pada tangga kelima.
Jenama kenderaan Toyota, Fiat, Volkswagen, Vauxhall dan Hyundai juga tersenarai sebagai jenama kenderaan yang menjadi tumpuan pencuri.