Kos mahal, rakyat China kurang melancong ke Singapura

Kos mahal, rakyat China kurang melancong ke Singapura

PARA pelancong bergambar di hadapan mercu tanda Merlion di Marina Bay, Singapura. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Rakyat China kini bukan lagi menjadi sumber pelancong utama di Singapura walaupun selepas pembukaan semula negara itu daripada sekatan ketat Covid-19 pada Januari lalu.

Sejak lima bulan pertama tahun ini, ketibaan daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu meningkat hanya 20 peratus daripada paras pra-Covid-19, malah diatasi oleh pengunjung dari Indonesia, India dan Australia.

Pada Februari lalu, China meneruskan lawatan berkumpulan ke Singapura dan negara lain, selepas membatalkannya selama tiga tahun dalam usaha memerangi Covid-19.

Bagaimanapun, pertumbuhan keseluruhan jumlah pelancong yang memilih destinasi luar negara kekal lembab berbanding lokasi domestik berikutan angka penerbangan antarabangsa dilaporkan lewat disambung semula.

Lapor The Straits Times, seramai 3.63 juta pelancong China tiba di Singapura pada 2019 namun Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyasarkan hanya 30 hingga 60 peratus daripada jumlah itu untuk tahun ini.

Pensyarah Kanan Pelancongan Politeknik Ngee Ann, Dr. Michael Chiam berkata, antara faktor perkembangan pelancongan yang rendah dari China termasuk tambang penerbangan yang lebih tinggi di laluan antarabangsa berikutan tempat duduk terhad.

Selain itu, kawalan perbelanjaan dalam kalangan pelancong China di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi negara yang semakin perlahan turut menjadi antara punca utama penurunan.

Kos tinggi untuk berbelanja di Singapura juga antara alasan yang diberikan oleh pelancong China ketika memilih destinasi lain seperti Bali di Indonesia dan Phuket di Thailand semasa musim cuti Mei lalu.

Eksekutif pengiklanan, Li Yejing, 34, yang melawat pulau Komodo di Bali berkata, dia perlu membelanjakan dua kali ganda daripada apa yang dilakukan di Indonesia jika memilih Singapura.

“Ada banyak tempat menarik yang saya mahu lawati di Singapura seperti Universal Studios, zoo dan safari malam tetapi tarikan ini sangat mahal.

“Selepas keluar daripada wabak Covid-19, simpanan saya semakin terjejas, jadi saya tidak mahu berbelanja terlalu banyak. Saya ingin melawat tempat yang menawarkan nilai wang yang lebih baik,” jelas Yejing.

Thailand kini dilaporkan menjadi pemenang yang jelas dalam kalangan pelancong China, dengan ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu bersedia menerima satu juta pelawat dari China setiap bulan sejak Oktober lalu.

Pihak berkuasa pelancongan Thailand turut mengekalkan unjuran rasmi pelawat China sebanyak lima juta tahun ini, tetapi angka itu mungkin meningkat kepada tujuh juta, bergantung pada bilangan penerbangan semasa musim sibuk antara Oktober dan Mac.

Indonesia turut menyemak semula sasaran kedatangan pelancong China selepas peningkatan yang tidak dijangka sebanyak 113,404 orang antara Januari dan Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya