CIANJUR: Botol dan sisa plastik mungkin hanya dilihat sebagai sampah kepada kebanyakan orang tetapi bagi penduduk di sebuah bandar kecil di wilayah Jawa Barat Indonesia, bahan buangan itu dianggap sebagai penyelamat dan laluan kepada penjagaan kesihatan mampu milik.
Sejak tahun 2009, Klinik Harapan Sehat seluas 2,000 meter persegi di bandar Cianjur menyediakan rawatan perubatan dan ubat-ubatan kepada golongan yang memerlukan dengan harga 10 botol plastik.
CIPTA PROGRAM MAMPAN
“Saya mahu mencipta program mampan yang bukan sahaja membantu orang lain, tetapi juga membolehkan orang ramai menyumbang kepada kesejahteraan bumi kita.
“Saya berunding dengan isteri saya dan fikir satu isu yang boleh kita atasi adalah plastik,” kata pengasas dan pengarah klinik itu, Yusuf Nugraha kepada Channel News Asia.
Menurut data kementerian alam sekitar, lebih 12.6 juta tan sisa plastik dihasilkan tahun lalu tetapi hanya sembilan peratus sahaja yang dikitar semula manakala selebihnya berakhir di tapak pelupusan sampah atau mencemarkan sungai dan lautan negara.
Yusuf mengakui programnya tidak mampu memberi impak besar kepada usaha pengurangan sisa plastik di Indonesia tetapi inisiatif itu menggalakkan pesakit Harapan Sehat menghantar sehingga 400 botol kepada dua syarikat kitar semula plastik dengan kerjasama kliniknya.
“Saya mahu orang di Cianjur mengambil berat tentang pemanasan global dan perubahan iklim tetapi ini adalah isu yang terlalu jauh malah terlalu rumit untuk mereka fahami.
“Mengurangkan penggunaan plastik, mengitar semula plastik dan menghentikan sisa plastik daripada mencemarkan alam sekitar adalah jalan mudah untuk mereka lebih mengambil berat tentang alam sekitar,” kata Yusuf.
Jelasnya, program tersebut berjaya membantu puluhan buruh kasar yang miskin, penganggur dan mereka yang tidak mampu membayar premium insurans atau skim keselamatan sosial kesihatan kerajaan yang terlalu tinggi.
Setiap hari, terdapat sehingga 40 pesakit yang memanfaatkan program kitar semula botol plastik untuk mendapatkan rawatan pelbagai masalah kesihatan seperti demam dan batuk serta penyakit yang mengancam nyawa seperti strok atau serangan jantung.
HASILKAN BATU-BATA PLASTIK
Malah, pekerja kilang batu bata, Entang berkata, klinik itu juga turut memberi peluang pesakit miskin yang tinggal di rumah kayu usang mendapat kediaman baharu yang dibina daripada batu bata dengan campuran simen dan pelet plastik.
“Apabila Yusuf datang dan bertanya sama ada saya boleh membuat batu bata menggunakan sisa plastik, mulanya saya keliru.
“Tetapi apabila kami membuat ujian, batu bata yang mempunyai plastik di dalamnya lebih kuat dan kurang rapuh kerana plastik memberikan struktur tambahan kepada setiap bata yang keluarkan. Plastik juga mengikat dengan baik bersama simen,” jelasnya.
Menurut Entang, kilangnya kini menjual kira-kira 1,000 ketul batu bata dengan campuran plastik sehari untuk program amal klinik berkenaan serta pelanggan tetapnya.
Program itu jugs meletakkan klinik tersebut sebaris dengan penjagaan kesihatan ternama malah banyak mendapat pujian daripada akhbar tempatan dan pegawai kerajaan.
Melalui mulut ke mulut, penduduk yang berkemampuan mula berpusu-pusu ke klinik berkenaan, sekaligus menjana keuntungan dan membolehkan Yusuf merawat lebih ramai pesakit yang miskin.
“Syukurlah, lama kelamaan kami tidak lagi mengalami kerugian,” katanya.
Harapan Sehat berkembang pesat dan kini menggaji lapan doktor serta lebih 50 jururawat selain mempunyai makmal sendiri, wad unit kecemasan, bilik pesakit, farmasi kecil dan stor optik.
Jelas Yusuf, pihaknya sedang berusaha menaik taraf statusnya menjadi poliklinik bagi menyediakan rawatan am dan pakar untuk pelbagai jenis penyakit.