BHUBANESWAR: Satu laporan mendakwa kesilapan teknikal mungkin menjadi punca kepada nahas pelanggaran tiga kereta api yang mengorbankan sekurang-kurangnya 290 orang di Odisha, timur India.
Memetik laporan Hindustan Times, laporan itu mendakwa tren Coromandel Express Howrah-Chennai memasuki laluan kereta api berlainan di Balasore disebabkan kesilapan isyarat.
Hasil siasatan awal pegawai kanan pengurusan kereta api, kesilapan teknikal mungkin menyebabkan tren Coromandel Express memasuki laluan kereta api kargo yang diparkir di lokasi itu.
“Ia mengakibatkan tiga kereta api bertembung di daerah Balasore, Odisha sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 290 orang dan lebih 1,100 cedera,” jelas laporan itu.
Malah, jelas laporan itu, pihaknya mendapati sebahagian laluan terbabit juga mengalami kerosakan.
Laporan yang diperoleh Hindustan Times mendakwa tren Coromandel Express Howrah-Chennai memasuki laluan berhampiran stesen kereta api Bahanaga bazar di Balasore kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) disebabkan kesilapan teknikal.
Bagaimanapun, laporan itu ditarik balik dengan serta-merta.
Laporan itu turut mendakwa tren Coromandel Express memasuki laluan terbabit pada kelajuan lebih 120 kilometer sejam (km/j).
Sekurang-kurangnya 290 orang terbunuh dan 1,100 lagi cedera dalam nahas kereta api paling buruk dalam tempoh lebih sedekad.
Ketua Setiausaha Odisha, Pradeep Jena memaklumkan angka kematian akibat nahas itu dijangka meningkat lagi.
Katanya, lebih 200 ambulans dan 180 anggota perubatan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian yang berlaku di daerah Balasore, Odisha.
Dilaporkan, insiden itu berlaku kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) semalam apabila kereta api Howrah Superfast Express dalam perjalanan dari Bangalore ke Howrah, West Bengal bertembung dengan Coromandel Express dari Kolkata ke Chennai.