LONDON: Bangkai kapal perang Amerika Syarikat (AS) merupakan kapal karam paling dalam di dunia, hampir dua kali lebih jauh ke dasar laut berbanding Titanic.
Lapor Daily Mail, kapal USS Samuel B. Roberts, terletak 6,865 meter di dasar Laut Filipina.
Bangkai kapal tersebut hampir empat kali lebih dalam daripada kawasan Grand Canyon yang sangat besar di AS.
Bangkai kapal yang juga dikenali sebagai ‘Sammy B’ itu dikenal pasti oleh penjelajah AS, Victor Vescovo pada 22 Jun tahun lalu.
Kapal itu dilaporkan tenggelam ke dasar laut hampir 79 tahun lalu di Lautan Pasifik Barat dan membingungkan para penyelidik yang berusaha memburu serpihannya selama beberapa berdekad.
Kapal berkenaan terlibat dalam fasa terakhir Pertempuran Teluk Leyte pada tahun 1944, yang menyaksikan Tentera Laut Jepun dan tentera AS bertempur di perairan Filipina .
Difahamkan, salah satu pertempuran laut terbesar dalam sejarah itu menyebabkan kapal berkenaan dilanggar dan membunuh 89 orang ketika karam.
Bangkai USS Samual Roberts mengatasi kedalaman kapal USS Johnston yang ditemukan pada April 2021 dan kapal SS Rio Grande milik tentera Jerman ketika Perang Dunia Kedua yang memegang rekod dunia sebagai kapal karam paling dalam selama hampir 30 tahun.