Kediaman elit Moscow diserang dron Ukraine - Utusan Malaysia

Kediaman elit Moscow diserang dron Ukraine

PAKAR memeriksa bangunan pangsapuri bertingkat yang rosak akibat serangan dron di Moscow kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Drone Ukraine menyerang daerah elit di Moscow dalam insiden yang disifatkan sebagai serangan paling berbahaya ke atas ibu negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Kementerian Pertahanan Russia berkata, lapan dron yang dihantar oleh Ukraine  menyasarkan orang awam ditembak jatuh atau dialihkan walaupun saluran Telegram yang mempunyai pautan kepada perkhidmatan keselamatan, Baza mendakwa lebih 25 dron terlibat.

Menurut Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin, seorang maut dan dua orang  cedera manakala beberapa warga Russia di dua blok pangsapuri yang rosak dipindahkan sementara.

Penduduk berkata, mereka terdengar bunyi dentuman kuat diikuti bau petrol dan ada yang sempat merakam dron ditembak jatuh bersama kepulan asap dilihat di langit Moscow.

Serangan dron awal pagi Selasa itu menyasarkan beberapa daerah paling berprestij di Moscow termasuk tempat kediaman Presiden Russia, Vladimir Putin serta beberapa golongan elit. 

Putin menyifatkan serangan dron terbesar Ukraine ke atas Moscow adalah percubaan untuk menakut-nakutkan dan mencetuskan provokasi terhadap Russia, dan menegaskan pertahanan udara di sekitar ibu negara akan diperkukuh.

Sejak Russia menghantar tentera ke jirannya pada Februari tahun lalu, peperanga itu sebahagian besarnya berlaku di dalam Ukraine, walaupun Moscow melaporkan beberapa serangan ke atas wilayahnya termasuk cubaan membunuh Putin awal bulan ini.

Ahli Parlimen, Maxim Ivanov, menyifatkannya sebagai serangan paling serius ke atas Moscow sejak serangan Nazi di Jerman dan tiada rakyat boleh mengelak hakikat baharu itu.

Sementara itu, Pembantu Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak,menafikan Kiyv terbabit secara langsung dalam insiden itu namun beliau mengakui ‘gembira’ menontonnya dan meramalkan lebih banyak lagi serangan bakal berlaku.

Setiausaha akhbar White House, Karine Jean-Pierre berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai laporan dron yang menyerang Moscow dan AS tidak menyokong sebarang serangan di dalam wilayah Russia.

Washington merupakan pembekal utama senjata ke Ukraine namun menegaskan negara itu hanya dibenarkan menggunakannya untuk mempertahankan diri dan merampas semula wilayah yang diduduki oleh tentera Russia.

Kyiv dilaporkan turut dibedil dari udara buat kali ketiga dalam tempoh 24 jam Selasa lalu.

Empat orang dilaporkan maut di sekitar Ukraine dalam serangan terbaharu Russia dengan 34 cedera termasuk dua kanak-kanak.

Menurut pihak berkuasa Ukraine, seorang wanita berusia 33 tahun dilaporkan maut di balkoni apabila serpihan peluru Russia mengenai sebuah bangunan dua tingkat dengan lebih ramai mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan ketika api menyambar.

Pertahanan udara negara itu turut mendakwa menembak jatuh 29 daripada 31 dron Shahed buatan Iran di Kyiv dan Russia dilaporkan menyerang bandar berkenaan sebanyak 17 kali sepanjang bulan Mei dengan dron atau peluru berpandu, kebanyakannya pada waktu malam.

Kelmarin, Ketua Pemerhati Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta Ukraine dan Russia menghormati lima prinsip untuk menjaga stesen loji tenaga nuklear Zaporizhzhia berikutan serangan yang berterusan di daerah berhampiran.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berusaha selama berbulan-bulan untuk mendapatkan persetujuan bagi mengurangkan risiko kemalangan nuklear yang dahsyat daripada aktiviti ketenteraan terutamanya tembakan di Zaporizhzhia yang merupakan loji tenaga nuklear terbesar di Eropah.

Dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB, Grossi menegaskan, lima prinsip itu termasuk menghalang lokasi berkenaan digunakan sebagai pangkalan untuk senjata berat seperti pelbagai pelancar roket, sistem artileri dan peluru serta kereta kebal.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya