OTTAWA: Lima penumpang yang menyertai ekpedisi melihat bangkai kapal Titanic menggunakan kapal selam kecil yang hilang sejak Ahad lalu diisytiharkan meninggaal dunia.
Pengumuman itu dibuat oleh pegawai Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengakhiri operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.
“Kesemua penumpang itu merupakan penjelajah yang sebenar, yang saling berkongsi minat dan semangat yang sama dalam melindungi lautan dunia.
“Kami ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa,” kata OceanGate Expedition yang mengendalikan kapal selam Titan.
Robot tanpa pemandu yang dibawa turun dari sebuah kapal ke dasar laut menemukan sejumlah serpihan bangkai kapal selam tersebut kira-kira 488 meter dari bawah permukaan di kawasan terpencil di Atlantik utara.
Serpihan itu menunjukkan kapal selam tersebut meletup, sekali gus mengorbankan kesemua penumpangnya.
“Serpihan yang ditemukan sepadan dengan kesan letupan pada kapal selam itu,” kata jurucakap Pengawal Pantai AS, John Mauger.
Namun, beliau menyatakan masih terlalu awal untuk menjelaskan bila kapal selam itu gagal berfungsi sehingga boleh mengakibatkan letupan.
Katanya, sebanyak lima serpihan kapal selam itu ditemukan.