KALAMATA: Ratusan pelarian dan pendatang kanak-kanak dipercayai maut dalam tragedi bot karam di perairan Peloponnes di Greece yang turut disifatkan sebagai antara insiden terburuk di Eropah.
Sekurang-kurangnya 79 orang disahkan terkorban dalam bencana itu selepas bot nelayan yang penuh sesak terbalik dan karam ketika dalam perjalanan dari Libya ke Itali.
INSIDEN TERBURUK
Seramai 104 penumpang berjaya diselamatkan namun pihak berkuasa bimbang dengan ratusan lagi termasuk wanita dan kanak-kanak yang terperangkap di dek bawah bot berkenaan.
Kapal penyelamat dilaporkan berlayar mencari mayat mangsa dan harapan untuk menemukan mereka yang masih hidup amat tipis.
Jika disahkan, insiden itu bakal disenaraikan sebagai antara tragedi bot karam terburuk pernah direkodkan di tengah Mediterranean.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan kapal itu membawa lebih 750 orang, termasuk sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak.
Gambar-gambar dari udara yang dikeluarkan oleh pengawal pantai Greece menunjukkan berpuluh-puluh orang di dek atas dan bawah bot melihat ke atas dengan menghulurkan tangan tanda meminta bantuan, beberapa jam sebelum ia karam.
Pasukan yang mengendalikan rangkaian sokongan operasi menyelamat berkata, mereka menerima panggilan daripada penumpang di atas kapal yang merayu bantuan selepas kaptennya dilaporkan sudah melarikan diri dengan bot kecil.
Pengawal pantai Greece berkata, seramai sembilan mangsa yang terselamat dari kapal pendatang itu ditahan polis kerana disyaki tergolong dalam sindiket penyeludup yang mengatur pelayaran.
ERT TV milik kerajaan berkata, kesemua suspek adalah warga Mesir.
Ketika Greece mengisytiharkan tiga hari berkabung, mayat mangsa dipindahkan ke tanah perkuburan berhampiran Athens untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan operasi mencari akan diteruskan selama beberapa hari lagi.
BUKA MATA EU
Kumpulan aktivis pelarian, badan bukan kerajaan, beberapa ahli politik Eropah termasuk Pope Francis adalah antara mereka yang turut berkongsi kesedihan dan kemarahan berikutan bencana itu.
Penasihat Kanan Advokasi Save the Children, Daniel Gorevan mengutuk tindakan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang melakukan usaha luar biasa untuk menutup semua laluan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka yang mencari keselamatan di Eropah.
“Selalunya, satu-satunya pilihan yang pelarian ada ialah melakukan perjalanan berbahaya dengan bot.
“Hakikat bahawa ramai orang kini terus mati di Mediterranean harus menjadi sesuatu yang membuka mata untuk kerajaan EU,” tegasnya.
Greece merupakan satu daripada laluan utama ke EU untuk pelarian dan pendatang dari Asia Barat, Asia dan Afrika.
Di bawah kerajaan konservatif yang berkuasa sehingga bulan lalu, Greece mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap pelarian dengan membina kem bertembok dan meningkatkan kawalan sempadan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatatkan lebih 20,000 kematian dan kehilangan di tengah Mediterranean sejak 2014, menjadikannya lintasan pendatang paling berbahaya di dunia.-AGENSI