JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) komited untuk meneruskan dan mengembangkan pelbagai idea yang digagaskan pengasas serta presiden pertama negara ini, Soekarno.
Katanya, semua perkara yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini adalah untuk melaksanakan, meneruskan dan mengembangkan langkah dan idea utama yang diperkenalkan oleh Bung Karno semasa era pentadbirannya.
Dalam ucapan Jokowi yang disiarkan melalui saluran YouTube Sekretariat Presiden, beliau merujuk Soekarno sebagai Bung Karno, iaitu nama panggilan mesra rakyat Indonesia.
Pada acara mengingati Bulan Bung Karno (BBK) 2013 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jokowi menjelaskan, sambutan ulang tahun kelahiran Soekarno yang lahir pada bulan Jun itu bukan semata-mata untuk berkumpul, tetapi mahu mengulangi komitmen melaksanakan semua agenda mengenai pembinaan negara bangsa dalam kalangan rakyat.
“Soekarno melebihi peranan seorang pejuang kemerdekaan dan proklamator kemerdekaan Indonesia kerana beliau merupakan individu yang mewujudkan identiti Indonesia menerusi Pancasila.
“Soekarno adalah arkitek bangsa Indonesia yang merangka seluruh pemerintahan, demokrasi dan kemajuan negara ini,” kata Jokowi.
Selain itu, Jokowi juga menyatakan, Soekarno bertanggungjawab membimbing perjuangan bangsa Indonesia.
Sehubungan itu, Indonesia perlu menjadi negara kuat yang kekal berdaulat dari segi semua aspek.