MAJALENGKA: Seorang jemaah haji warga emas yang berasal dari Majalengka, Jawa Barat meminta untuk turun dari pesawat ketika dalam penerbangan ke tanah suci, baru-baru ini.
Jemaah lelaki yang dikenali sebagai Juhani, berusia 95 tahun itu memberitahu kepada pramugari bahawa dia ingin turun dari pesawat kerana teringat ayam-ayam ternakan masih belum diberi makan di rumahnya.
Kejadian itu dirakam oleh seorang petugas haji Indonesia, ustaz Yuyud Aspiyudin di dalam pesawat.
Jelas Yuyud, kejadian itu berlaku ketika pesawat hampir mendarat di Madinah.
Dalam video tersebut, Juhani tiba-tiba berdiri dan menyatakan dia teringat ayam ternakannya belum diberi makan.
“Ketika pesawat hampir mendarat di Madinah, pakcik Juhani meminta untuk turun dari pesawat kerana dia beritahu, ayam-ayamnya masih belum diberi makan.
“Dia cuba memberitahu pramugari, namun kru pesawat itu tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh pakcik JUhani.
“Penumpang lain pula tertawa melihat gelagat pakcik Juhani,” jelas Yuyud seperti yang dilapor Kompas.com.
Uztaz itu memberitahu, lelaki warga emas itu amat gembira kerana berpeluang menunaikan haji tahun ini dan sering melemparkan senyuman.