JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan Indonesia sebagai sebuah negara besar tidak boleh dipandang rendah dan harus sejajar dengan bangsa negara lain.
Penegasan itu dibuat ketika beliau berucap sempena Peringatan Hari Lahir Pancasila di Monumen Nasional, kelmarin.
“Kita perlu bekerjasama dari semua sudut untuk pastikan Indonesia seiring dengan negara maju yang lain.
“Inilah Indonesia. Indonesia tetap Indonesia yang tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapa pun, malah kita sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada negara lain,” katanya.
Selain itu, Jokowi juga menyatakan ideologi Pancasila menjadikan negara ini diterima dan diakui dunia.
Jelas beliau, nilai-nilai yang terkandung dalam Pancasila dianggap relevan bagi dunia.
“Indonesia terpilih menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak ASEAN dan G20 baru-baru ini, sekali gus menunjukkan dunia memperakui nilai-nilai yang terkandung dalam Pancasila.
“Indonesia tetap stabil biarpun dunia bergolak, terutamanya perang Ukraine dan Russia yang masih berlangsung hingga kini,” ujar Jokowi.
Dalam pada itu, Jokowi juga menegaskan beliau enggan mempolitikkan isu berkaitan identiti dan agama negara menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024.
Beliau menyeru kepada semua rakyat negara ini supaya menolak ekstremisme, hal-hal mempolitikkan isu berkaitan identiti, agama dan bangsa.
“Marilah kita semua menjalani pilihan raya yang penuh demokrasi dan semuanya terletak di tangan kita sendiri,” tegasnya.