JAKARTA: Indonesia semalam mengesahkan pembelian sebanyak 12 buah jet pejuang Mirage 2000-5 yang sebelum ini digunakan oleh Qatar menerusi perjanjian berjumlah hampir AS$800 juta (RM3.7 bilion).
Pembelian itu disifatkan sebagai ‘cara terpantas’ untuk Indonesia menaiktaraf pasukan tentera udaranya selepas dikritik mempunyai aset ketenteraan yang usang.
Kementerian Pertahanan Indonesia menerusi kenyataan memaklumkan, negara itu menandatangani perjanjian bernilai AS$792 juta (RM3.6 bilion) dengan Excalibur International pada Januari lalu.
Kesemua jet pejuang itu dijangka dihantar ke Indonesia dalam tempoh 24 bulan dari perjanjian dipersetujui.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, ahli politik mempersoalkan pembelian tersebut kerana ia melibatkan jet pejuang terpakai.
“Kenapa perlu tergesa-gesa untuk beli jet yang sudah digunakan?,” lapor Kompas.com memetik kenyataan Tubagus Hasanuddin.
Menurut maklumat dalam laman web pengeluar jet berkenaan, model pertamanya dilancarkan pada 1967.
Kementerian Pertahanan bagaimanapun tidak menyebut usia jet yang dibeli, sebaliknya memaklumkan terdapat tiga tahun perkhidmatan sokongan dan latihan untuk juruterbang.
“Indonesia memerlukan jet pejuang yang boleh dihantar segera bagi mengatasi kekurangan dalam pasukan tentera udara kita,” ujar jurucakap kementerian, Edwin Adrian Sumantha. – REUTERS