Imran Khan dituduh bersubahat membunuh

Imran Khan dituduh bersubahat membunuh

IMRAN KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Polis Pakistan secara rasmi menamakan bekas Perdana Menteri, Imran Khan sebagai bersubahat dalam satu kes pembunuhan berlaku Selasa lalu.  

Imran, 70, didakwa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan peguam, Abdul Razzaq Shar yang sebelum ini memfailkan petisyen mahkamah menuntut prosiding hasutan dikenakan terhadap beliau kerana membubarkan kerajaan selepas usul undi tidak percaya.  

Lapor Al Jazeera, polis mengaitkan bekas bintang kriket itu sebagai `bersubahat membunuh’ dalam kes berkenaan. 

Bagaimanapun, Imran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Berdasarkan kertas aduan jenayah yang difailkan, Abdul Razzaq maut ditembak lelaki bersenjata semasa dalam perjalanan menuju ke Mahkamah Tinggi Balochistan di Quetta.

Menurut polis, Abdul Razzaq ditembak lebih 10 kali ketika berada di dalam keretanya dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak lelaki mangsa, Siraj Ahmad membuat laporan polis terhadap pemimpin parti Tehreek-e-Insaf (PTI) dengan menuduh bekas perdana menteri itu bersubahat membunuh bapanya.

Siraj mendakwa pembunuhan bapanya mempunyai kaitan dengan kes yang difailkan terhadap Imran.

“Bapa saya memfailkan kes di bawah Perkara 6 terhadap Imran. Saya pasti inilah sebabnya beliau dan ahli partinya membunuh ayah saya.

“Malah, bapa saya sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh selepas memfailkan petisyen terhadap pemimpin itu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Imran menerusi video disiarkan di akaun media sosial PTI menyifatkan tuduhan terhadapnya tidak munasabah.

Katanya, beliau tidak sedar dirinya didakwa dalam kes yang tidak berasas.

Kes pembunuhan itu adalah terbaharu dalam senarai pertuduhan dihadapi oleh Imran yang turut berdepan ratusan kes difailkan sejak penyingkiran beliau daripada jawatan tertinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya