JAKARTA: Golongan ibu bapa mempunyai peranan besar dalam mencegah kes perkahwinan kanak-kanak bawah umur di beberapa wilayah di Indonesia.
Pandangan itu diutarakan oleh penganalisis dasar awam Wahana Visi Indonesia, Lia Anggiasih ketika kes perkahwinan bawah umur semakin meningkat di negara itu.
Berdasarkan kajian dijalankan di wilayah Bengkayang di Kalimantan Barat serta Sigi dan Bandar Palu di Sulawesi Tengah, kira-kira 40 hingga 47 peratus ibu bapa memainkan peranan dalam menyokong perkahwinan anak pada usia bawah umur.
“Jadi, terdapat ibu bapa yang bersetuju dan menyokong anak berkahwin di bawah umur 18 tahun,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di Kementerian Pembangunan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak.
Menurut Lia, hasil kajian turut mendapati persepsi anak-anak terhadap ibu bapa mereka juga amat membimbangkan.
“Golongan itu menganggap ibu bapa seolah-olah tidak mengambil berat terhadap kebajikan mereka termasuk mendapatkan pendidikan di sekolah.
“Akibatnya, ramai kanak-kanak dan remaja di tiga kawasan itu terjerumus melakukan hubungan seks bebas dan mengandung luar nikah,” katanya.
Selain itu, Lia memaklumkan ibu bapa juga dianggap kurang tegas dalam menghentikan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.
“Oleh itu, adalah penting untuk memperkukuhkan keupayaan ibu bapa menjaga anak-anak mereka.
“Ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak,” katanya.
Tambah Lia, keupayaan ibu bapa menjaga anak boleh diperkukuhkan dengan menyampaikan maklumat berkaitan perkahwinan khususnya isu kesihatan reproduktif kepada anak-anak mereka. – AGENSI