JAKARTA: Jabatan Pendidikan (Disdik) Jakarta akan menilai semula pemberian Kad Jakarta Pintar (KJP) Plus untuk golongan pelajar.
Hal itu kerana terdapat banyak laporan mengenai penyalahgunaan faedah kad tersebut, termasuk pelajar dari keluarga berkemampuan turut menerimanya.
Ketua Disdik Jakarta, Syaefuloh Hidayat berkata, pihaknya menerima laporan memaklumkan ada golongan pelajar yang ibu bapanya mempunyai rumah dan kenderaan mewah, tetapi masih memperoleh kad tersebut.
“Kita akan nilai semula pemberian kad tersebut berdasarkan laporan yang diterima.
“Memang tidak sepatutnya golongan pelajar yang berkemampuan menerima kad itu kerana ia khusus untuk pelajar yang kurang bernasib baik,” katanya.
Syaefuloh memberitahu, pemberian wang bantuan KJP Plus bagi tahap pertama tahun ini sudah pun bermula pada bulan ini dan akan diberikan secara bertahap.
Jelasnya, pemberian kad tersebut adalah berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
“Bagi mendapatkan KJP, pelbagai proses perlu dilakukan, termasuk memastikan golongan pelajar yang berkelayakan memenuhi syarat ditetapkan,” ujarnya.