MANILA: Filipina buat pertama kali membenarkan aktiviti pelancongan di beberapa kawasan di bawah kawalan negara itu di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Malah, negara itu juga dikatakan sudah mula membawa pelancong ke Kepulauan Spratly.
Pulau yang dituntut Filipina terletak di timur laut Kepulauan Spratly iaitu kawasan dikenali sebagai Kalayaan Island Group di Laut Filipina Barat.
Lapor Channel News Asia, penganjur pelancongan, Ken Hupada berkata, pakej tawaran percutian tujuh hari atas kapal layar menyusuri perairan itu dikenali sebagai Ekspedisi Great Kalayaan atau Kebebasan.
Katanya, para pelancong hanya perlu membayar kira-kira AS$2,000 (RM9,232) untuk menikmati pengalaman percutian itu.
Dilaporkan, terdapat kekangan infrastruktur di sebahagian besar pulau termasuk kekurangan pelabuhan.
“Ekspedisi Great Kalayaan dianjurkan bertujuan membuka Laut Filipina Barat yang luas untuk pelancongan.
“Meskipun matlamat program ini bukan untuk mencetuskan langkah agresif, kami percaya ia akan memberi sedikit nilai kepada tuntutan kami (Kepulauan Kalayaan),” katanya.
Kumpulan pelancong pertama yang menyertai Ekspedisi Great Kalayaan itu melakukan perjalanan dari 2 hingga 8 Jun lalu.
Kumpulan itu antaranya terdiri daripada pengamal media, ahli akademik, peminat sukan air termasuk penyelam Bretch Garcinez.
Dilaporkan, lokasi permulaan perjalanan adalah di kemudahan tentera laut Filipina.
Kepulauan Spratly merangkumi lebih 100 pulau kecil atau terumbu karang yang dikelilingi oleh kawasan penangkapan ikan yang besar dan berkemungkinan mempunyai bekalan gas dan minyak.
China, Taiwan dan Vietnam menuntut keseluruhan wilayah perairan itu, manakala sebahagiannya dituntut oleh Malaysia dan Filipina.