MANILA: Pengawal pantai Filipina memaklumkan pihaknya sudah menamatkan operasi pencarian enam kru yang hilang selepas sebuah kapal dinaiki mereka karam di perairan timur negara itu.
Kapal Genesis 2 karam akibat cuaca buruk, kira-kira 337 kilometer (km) timur pulau selatan Mindanao pada 22 Jun lalu.
Pegawai pengawal pantai, Leftenan Elmar Mesina berkata, seramai 14 anak kapal berjaya diselamatkan, selain mayat tiga yang lain turut ditemukan.
“Kami tidak dapat pastikan mampu mengesan lebih ramai mangsa selepas ini,” kata Mesina yang juga ketua balai pengawal pantai di wilayah Davao Oriental.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keenam-enam mangsa sudah meninggal dunia.
Sebelum ini, pejabat pengawal pantai di Manila memaklumkan bahawa pihaknya mengesyorkan komander untuk menamatkan misi pencarian itu.
Katanya sambil memetik kenyataan mangsa terselamat, enam lelaki termasuk kapten mungkin terperangkap dalam kapal yang karam di perairan negara itu.
Jelas Mesina, sebuah kapal peronda meninggalkan kawasan itu selepas melakukan misi pencarian.
Setakat ini, punca kejadian kapal karam itu masih sedang disiasat. – AFP