ANKARA: Recep Tayyip Erdogan dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Turkiye, hari ini.
Erdogan berjaya mengekalkan kuasanya selepas memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye yang menjadi cabaran terbesar sepanjang dua dekad pemerintahannya di negara itu.
Dalam pilihan raya penentu itu, Erdogan menewaskan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu selepas meraih sebanyak 52.14 peratus undi.
Kilicdaroglu hanya menerima 47.86 peratus undi.
Pilihan raya penentu itu berlangsung ketika negara itu dilanda krisis kos sara hidup yang menyaksikan kadar inflasi memuncak pada 85 peratus pada Oktober tahun lalu serta kejadian gempa bumi mengorbankan lebih 50,000 penduduk.
Erdogan, 69, yang pada mulanya berkhidmat sebagai Perdana Menteri Turkiye pada 2003 sebelum menyusul menjadi presiden pada 2014, menawarkan visi pembangunan masa hadapan.
Upacara mengangkat sumpah itu akan diadakan di Parlimen, diikuti dengan penganjuran majlis makan malam di istana presiden di Ankara.
Dilaporkan, beberapa ketua negara dijangka menghadiri upacara angkat sumpah Presiden Turkiye.
Erdogan akan menerima mandat daripada Speaker Grand National Assembly, Devlet Bahceli dan dijangka mengumumkan barisan Kabinet selepas majlis makan malam. – AFP/AGENSI