KAHERAH: Harga ternakan melambung akibat inflasi tinggi dan kejatuhan nilai mata wang menjejaskan persediaan sambutan Aidiladha rakyat Mesir, sekali gus menyaksikan perayaan itu bakal diraikan dalam suasana suram.
Aidiladha atau Hari Raya Korban bermula 28 Jun ini adalah sambutan dinanti-nantikan di negara Islam.
Menjadi tradisi Islam, keluarga kaya dan sederhana akan menyembelih haiwan yang biasanya biri-biri atau lembu dan berkongsi daging dengan keluarga, saudara mara, rakan dan orang miskin.
Walaupun kebiasaan golongan berada di Mesir gemar melakukan upacara korban itu, mereka kini lebih cenderung membeli secara berkumpulan kerana mereka tidak lagi mampu membeli seekor haiwan secara bersendirian seperti sebelum ini.
Memetik laporan Xinhua, seorang pemilik kedai di Kaherah, Waleed Azouz 66, berkata dia memutuskan untuk membahagikan kos seekor lembu dengan dua yang lain tahun ini.
Warga emas itu yang mengikuti tradisi penyembelihan haiwan selama 40 tahun, akan mengagihkan bahagian daging lembunya kepada 25 pekerja wanitanya yang berpendapatan rendah ketika perayaan itu.
AL-Maashy yang terletak di pinggir Giza Governorate di barat daya ibu kota Kaherah, antara pasar ternakan terbesar di Mesir.
Walaupun sibuk dengan peniaga ternakan, pasar itu menyaksikan kejatuhan mendadak pembeli dan jualan keseluruhan berbanding tahun lalu.
“Tahun ini mencatatkan jualan paling rendah,” kata seorang peniaga haiwan, Hassan Mohamed yang jualan lembunya merosot dua pertiga kepada 20 sehari berbanding tahun lalu.
Katanya, lebih ramai pembeli memilih haiwan lebih kecil seperti kambing atau biri-biri, berbanding haiwan besar seperti lembu, kerana harga sekilogram daging lembu dengan tulang meningkat lebih dua kali ganda kepada 145 pound (AS$4.7 atau RM21.98) berbanding tahun lalu, 70 pound (RM10.64).
Kata peniaga itu, kebanyakan tawaran dalam pasaran dimuktamadkan dengan beberapa pembeli berkongsi pembelian seekor haiwan dengan kebanyakannya terdiri daripada satu keluarga dan membahagikan harga keseluruhannya.
Menurut Naib Presiden Cawangan Dewan Perdagangan Daging Kaherah, Haitham Abdel Basset, berkata jualan haiwan korban merosot sebanyak 80 peratus berbanding setahun sebelumnya.
Basset mengaitkan kenaikan harga haiwan, terutama lembu, yang harga puratanya anggaran antara 50,000 (RM7,598) hingga 80,000 pound (RM12,156) dengan peningkatan kos bahan utama makanan haiwan iaitu bijirin gandum dan jagung yang sebahagian besarnya diimport dari Russia dan Ukraine.
Ini berikutan satu tan dedak kini berharga 10,000 paund (RM1,519), lonjakan 10 kali ganda dari tujuh tahun lalu, menyebabkan banyak ladang tidak mampu untuk beroperasi, kata pakar itu.
Untuk mengatasi harga yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sebilangan rakyat Mesir kelas pertengahan lebih suka membeli daging lembu sejuk beku daripada kedai-kedai subsidi kerajaan berbanding daging segar.
Beliau berkata, faktor pembiakan, penyembelihan, dan penjualan haiwan serta penggajian sekurang-kurangnya 30 orang menyumbang kenaikan kos.
Sehubungan itu, Basset menggesa kerajaan mencari penyelesaian untuk mengatasi perniagaan suram dalam pasaran ternakan.