BRASILIA: Seorang doktor di Brazil dibuang kerja selepas didakwa meminta kanak-kanak mengalami sakit tekak dan selesema, makan aiskrim dan bermain permainan video.
Lapor Oddity Central, ibu pesakit, Priscila da Silva Ramos dari Osasco membawa anaknya yang berusia sembilan tahun ke sebuah klinik kerajaan pada 18 Mei lalu.
Menurut Ramos, dia membawa anaknya berjumpa doktor untuk diperiksa selepas kanak-kanak itu mula berasa sakit dan muntah beberapa kali.
Wanita itu turut mendakwa doktor di klinik itu bersikap tidak profesional apabila bertanya kepadanya sama ada dia sudah memeriksa tekak anaknya tanpa mahu melakukannya sendiri.
Tanpa memeriksa kanak-kanak itu, doktor tersebut didakwa memberi preskripsi beberapa ubat seperti amoksisilin, ibuprofen, dipyrone, prednisolone dan N-acetylcysteine, serta memintanya makan aiskrim dan bermain permainan video setiap hari.
“Doktor itu mula menulis preskripsi tanpa memeriksa keadaan anak saya, malah dia langsung tidak melakukan apa-apa.
“Dia kemudian bertanya pada anak saya sama ada suka makan aiskrim perisa coklat atau strawberi, lalu menulis semula pada preskripsi itu.
“Saya terkejut setelah melihat preskripsi doktor itu meminta makan aiskrim dan bermain permainan video Free Fire setiap hari,” katanya.