WASHINGTON: Pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey, memberi amaran platform media sosial itu berisiko untuk ditutup di India, Nigeria dan Turkiye.
Tindakan itu tidak akan diteruskan jika Twitter mematuhi arahan untuk menyekat peranan wartawan dan penunjuk perasaan dalam platform berkenaan di tiga negara terbabit.
Dorsey berhenti daripada jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twitter pada 2021 sebelum rangkaian media sosial itu dibeli oleh bilionair Elon Musk pada 2022.
Katanya, India merupakan negara yang paling banyak menggunakan Twitter bagi menyalurkan bantahan terhadap kerajaan.
“Pelbagai golongan menyalurkan bantahan mereka menggunakan Twitter di India, bermula dari golongan petani sehinggalah wartawan yang lantang mengkritik kerajaan,” ujar Dorsey.
Kumpulan petani India menamatkan protes selama setahun pada akhir 2021 selepas memenangi pampasan daripada kerajaan.
Demonstrasi petani itu merupakan antara yang terbesar dihadapi kerajaan India di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi.
Selain itu, Dorsey memberitahu, tekanan sama turut diterima daripada kerajaan di Turkiye dan Nigeria yang menyekat Twitter di negara mereka pada tahap berbeza selama beberapa tahun, sebelum menarik semula larangan tersebut.
Nigeria sebelum ini menggantung Twitter pada 2021 selepas ia menurunkan muat naik daripada jawatan Presiden ketika itu, Muhammadu Buhari, yang mengancam untuk menghukum puak pemisah di rantau itu.
Namun, larangan itu ditarik semula pada awal tahun lalu selepas Twitter bersetuju untuk membuka pejabat tempatan, hasil perjanjian dengan pihak berkuasa. – REUTERS