MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 112 orang meninggal dunia akibat `cuaca panas melampau atas sebab semula jadi’ di Mexico sejak Mac lalu.
Lapor CNN, data itu dikeluarkan oleh sekretariat kesihatan negara itu.
Berdasarkan laporan, wilayah Nuevo León paling teruk terjejas dengan merekodkan 64 kes kematian.
Puluhan kes kematian turut dilaporkan di seluruh wilayah Tamaulipas, Veracruz, Tabasco, Oaxaca, Quintana Roo, Sonora dan Campeche.
Jelas laporan itu, sekurang-kurangnya 1,559 orang menerima rawatan perubatan untuk masalah berkaitan suhu dalam tempoh yang sama.
Sepanjang 10 hari lalu, Mexico menyaksikan suhu yang memecahkan rekod, dengan beberapa lokasi merekodkan bacaan mencecah 45 darjah celsius.
Di wilayah Tamaulipas, pihak berkuasa tempatan mengesahkan puluhan orang maut akibat gelombang panas sehingga mendorong Gabenor Américo Villarreal Anaya mengarahkan pembentukan jawatankuasa kerja untuk merangka pelan tindak balas bagi menangani situasi itu.
Baru-baru ini, Setiausaha Kesihatan Tamaulipas dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan cuaca panas dengan bacaan suhu tinggi akan berterusan di seluruh wilayah itu.