China sekat profesional kewangan pamer kemewahan - Utusan Malaysia

China sekat profesional kewangan pamer kemewahan

BEBERAPA lelaki berjalan melepasi cawangan Bank of China di Chengdu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG:  Firma kewangan China mengambil pelbagai langkah ekstrem untuk berjimat cermat termasuk melarang kakitangan memakai pakaian dan jam tangan mahal di tempat kerja ketika Beijing berusaha merapatkan jurang kekayaan di negara itu.

Langkah itu dibuat selepas pihak berkuasa berikrar untuk membanteras rasuah dalam sektor kewangan negara berjumlah AS$57 trilion (RM263 trilion) dengan pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu dilaporkan semakin lemah dan pengangguran belia mencecah rekod tertinggi.

LARANG PAMER KEMEWAHAN

Profesional kewangan adalah antara pekerjaan dengan gaji tertinggi di China dan kekayaan serta gaya hidup mereka sering mendapat kritikan daripada orang ramai di media sosial terutama ketika ekonomi semakin perlahan.

Badan pemantau rasuah terkemuka China awal tahun ini berikrar untuk menghapuskan idea-idea ‘elit kewangan’ gaya Barat dan membetulkan hedonisme mengejar kemewahan yang berlebihan.

Perkara itu mendorong sebilangan besar firma kewangan sektor milik kerajaan dan swasta untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan mereka tidak ‘diperhatikan’ oleh pihak berkuasa.

Menurut salah seorang pekerja, badan pengurusan dana milik kerajaan meminta kakitangannya supaya tidak menyiarkan gambar makanan, pakaian atau beg yang mahal di media sosial bagi mengelak daripada kritikan orang ramai atau disiasat pihak berkuasa.

Terdapat juga kakitangan bank yang diarahkan untuk tidak memakai jenama mewah atau membawa beg mewah di tempat kerja malah mereka juga tidak dibenarkan menginap di hotel lima bintang apabila membuat perjalanan atas urusan kerja.

Eksekutif kanan di sebuah syarikat insurans milik kerajaan juga dilaporkan turut menerima arahan serupa.

POTONG ELAUN PEKERJA

Menurut sumber, Bank Perindustrian dan Komersial China (ICBC) serta Bank Pembangunan China (CCB) turut merancang untuk memotong beberapa elaun pekerja di ibu pejabat bank itu mulai tahun ini.

Antara faedah yang akan terjejas termasuk elaun musim panas  sebanyak lebih 1,500 yuan (RM969) sebulan yang akan dimansuhkan mulai bulan ini.

China International Capital Corp (CICC) juga dilaporkan mengurangkan bonus tahun ini untuk kakitangan pelaburan sehingga 50 peratus selain mengenakan tindakan tegas antirasuah dan mengekang gaya hidup mewah pekerjanya demi memastikan mereka tidak melanggar ideologi Parti Komunis di negara itu.

Bagi mengukuhkan peranan ideologi politik dalam sistem kewangan China, negara itu sedang menubuhkan badan pemerhati baharu sebagai inisiatif penyusunan semula badan kerajaan secara meluas dalam penggal ketiga Presiden, Xi Jinping.

Pengawal selia sekuriti China dan bank pusat memotong peruntukan belanjawan untuk gaji pekerja pada 2023, berikutan pembaharuan yang diarahkan dalam usaha lebih meluas untuk mengurangkan jurang pendapatan.

Penganalisis berkata, kakitangan di bank pusat dan pengawal selia sekuriti menghadapi kemungkinan pemotongan gaji hasil daripada pengumuman pembaharuan badan kawal selia kewangan pada Mac lalu yang meminta gaji kakitangan mereka diletakkan setanding dengan penjawat awam.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya