SAO PAULO: Pihak berkuasa Brazil berjaya merampas sebanyak 28.7 tan metrik sirip ikan jerung yang diperoleh secara haram untuk dieksport ke Asia.
Konsainan dirampas daripada dua syarikat pengeksport di Brazil disifatkan sebagai rampasan terbesar dunia membabitkan sirip jerung setakat ini.
Lapor BBC, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Brazil (IBAMA) menganggarkan konsainan dirampas itu mengandungi kira-kira 11,000 jerung spesies biru dan mako sirip pendek yang dibunuh.
Jerung biru dan mako sirip pendek disenaraikan sebagai spesies terancam di Brazil pada bulan lalu.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mendedahkan nama syarikat mahupun pihak terbabit dalam kegiatan itu.
Menurut IBAMA, sebanyak 27.6 tan metrik sirip jerung dirampas daripada sebuah syarikat pengeksport tunggal terletak di Santa Catarina, selatan Brazil.
“Manakala baki 1.1 tan metrik sirip jerung pula dirampas di Lapangan Terbang Antarbangsa Sao Paulo,” jelasnya.
Dilaporkan, Brazil mengharamkan kegiatan penangkapan ikan jerung.
IBAMA mendakwa syarikat terbabit dalam kegiatan berkenaan menggunakan permit untuk menangkap spesies ikan lain.
Agensi itu turut menuduh syarikat berkenaan menyebabkan kematian beribu-ribu burung laut ketika kegiatan penangkapan ikan jerung.
Ketika ini, kedua-dua syarikat itu sudah dikenakan denda.