MILAN: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi meninggal dunia, hari ini, pada usia 86 tahun.
Beliau sebelum ini dimasukkan ke hospital Milan pada Jumaat lalu kerana menjalani pemeriksaan berkaitan leukemia.
Berlusconi dimasukkan ke hospital itu tiga minggu selepas beliau dibenarkan keluar apabila menerima rawatan di hospital San Raffaele di Milan selama enam minggu.
Doktor mendedahkan bekas pemimpin itu mengalami kanser darah.
Berlusconi mengalami masalah kesihatan selama bertahun-tahun, daripada pembedahan jantung pada 2016 hingga kemasukan ke hospital pada 2020 kerana dijangkiti Covid-19.
Walaupun dipilih semula ke Dewan Negara tahun lalu, beliau jarang dilihat di khalayak ramai.
Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ketua rasmi parti sayap kanannya Forza Italia, dalam kerajaan gabungan Perdana Menteri Giorgia Meloni.
Berlusconi memimpin Itali sebanyak tiga kali iaitu selama sembilan tahun di antara 1994 dan 2011 dan berjaya memikat pengundi dengan janji kejayaan ekonomi namun dipaksa meletakkan jawatan ketika krisis hutang mencengkam negaranya.
Bagaimanapun, pengaruhnya melebihi politiknya kerana telatahnya sebagai ‘playboy’ membuatkan beliau sering menjadi tajuk utama akhbar walaupun ketika tahun terakhirnya.
Beliau meninggalkan teman wanitanya yang berusia 33 tahun, Marta Fascina, dua bekas isteri dan lima anak, yang sebahagiannya membantu menguruskan empayarnya yang dianggarkan bernilai AS$7 bilion (RM32.3 bilion). – AFP