Bantu polis gantung 26 penjenayah, banduan dibebaskan awal

Bantu polis gantung 26 penjenayah, banduan dibebaskan awal

SHAHJAHAN Bhuiyan (tengah) dibebaskan dari penjara dari Penjara Pusat Dhaka minggu lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Seorang banduan di Bangladesh mencetuskan kontroversi apabila dibebaskan empat tahun empat bulan lebih awal kerana melaksanakan hukuman gantung ke atas 26 penjenayah ketika berada di penjara.

Pada 1991, Shahjahan Bhuiyan dijatuhi hukuman penjara 42 tahun kerana membunuh, tetapi hukumannya dikurangkan kerana membantu melaksanakan hukuman mati yang dikenakan ke atas banduan lain.

Lelaki berusia 74 tahun itu menerima ganti rugi pengurangan dua bulan penjara bagi setiap hukuman gantung dilakukannya ditambah dengan tingkah laku baik serta beberapa aspek lain yang diambil kira oleh pihak berkuasa untuk memendekkan hukumannya.

Shahjahan dilantik menjadi tukang gantung di Penjara Pusat Dhaka pada 2001, selepas memaklumkan pegawai penjara bahawa dia tahu mengendalikan tali dengan betul untuk menjalankan hukuman tersebut.

Bangladesh adalah satu daripada beberapa negara di dunia yang melaksanakan hukuman mati dengan cara menggantung dan kemahiran Shahjahan sangat dihargai pihak berkuasa di negara itu.

“Saya sangat gembira. Saya menjalani hukuman penjara untuk masa yang lama, tetapi pihak berkuasa memastikan keselesaan saya dan menghormati saya.

“Walaupun saya berasa simpati kepada mereka, sebagai banduan, saya terpaksa melakukannya. Saya tidak memerintahkan hukuman gantung itu sebaliknya kerajaan yang memerintahkan saya untuk melakukannya,” jelasnya kepada pemberita selepas dibebaskan.

Antara banduan yang digantung Shahjahan termasuk pemimpin parti Jamaat-e-Islami, Ali Ahsan Mujahid; pemimpin Jamayetul Mujahideen, Siddique ul-Islam atau dikenali sebagai Bangla Bhai serta pegawai tentera yang terlibat merancang rampasan kuasa 1975 dan membunuh pengasas negara itu, Sheikh Mujibur Rahman.

Shahjahan bagaimanapun tidak mempunyai keluarga dan kediaman sendiri dan mengakui akan tinggal bersama rakannya yang juga bekas banduan di penjara sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya