BEIJING: Beberapa bandar di utara China memecah rekod suhu paling panas minggu ini, sekali gus meningkat bebanan bekalan elektrik negara.
Suhu Beijing mencecah rekod 39.4 darjah Celsius hari ini dan tertinggi sepanjang pertengahan Jun.
Pentadbiran Meteorologi China turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya mengurangkan tempoh aktiviti luar dan berhati-hati terhadap strok haba.
“Suhu permukaan jalan di ibu negara kini melebihi 50 darjah Celsius, yang boleh menyebabkan kerosakan jalan raya, tayar kenderaan pecah, pembakaran spontan dan kemalangan jalan raya lain,” kata Pakar Meteorologi Bandar, Lei Lei dipetik Xinhua.
Sejak Mac, China mengalami suhu yang lebih tinggi daripada biasa menyebabkan pihak berkuasa mengadakan banyak latihan kecemasan.
Pakar cuaca meramalkan keadaan ekstrem di seluruh negara lebih teruk berbanding musim panas tahun lalu dan keadaan itu bakal berlarutan selama lebih dua bulan lagi.
Semalam, Shijiazhuang di wilayah Hebei menjadi ibu kota pertama yang mencecah suhu 40 darjah Celsius tahun ini.
Menurut media kerajaan CCTV, bandar Zhangjiakou dan Chengde di wilayah sama turut memecahkan rekod suhu bagi bulan Jun.
Menjelang pukul 10 pagi (waktu tempatan) hari ini, Pusat Pentadbiran Meteorologi mengeluarkan banyak amaran haba yang lebih tinggi.
Balai Cerap Meteorologi Tianjin menaikkan tahap amarannya dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius.
Cuaca panas yang berterusan menyebabkan pengendali grid kuasa negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan beberapa bandar di selatan memberi amaran kepada firma dan orang ramai supaya mengekang penggunaan.-AFP/AGENSI