BEIJING: Diplomat tertinggi China, Wang Yi menggesa Amerika Syarikat (AS) `menilai semula hubungan’ dan menyelesaikan perbezaan yang timbul dengan republik itu.
Pada masa sama, pemimpin itu mendakwa `persepsi salah’ AS terhadap China menjadi punca hubungan antara kedua-dua negara itu semakin teruk.
Lapor media tempatan CCTV, Wang Yi menganggap lawatan dua hari Setiausaha Negara, Antony Blinken ke Beijing berada pada `landasan kritikal’ dalam hubungan antara China-AS.
Malah, Wang Yi memberitahu Blinken bahawa pihaknya perlu membuat pilihan sama ada antara dialog dan konfrontasi, kerjasama atau konflik.
“Hubungan China dan AS mengalami `pasang surut’. Oleh itu, adalah amat penting bagi Washington menilai semula dan bekerjasama dengan Beijing untuk menyelesaikan perbezaan serta mengelak tindakan mengejut,” katanya.
Wang Yi turut menggesa AS supaya tidak menganggap kononnya China berusaha menjadi dominasi.
Tambah beliau, Washington juga tidak harus `salah menilai’ Beijing berdasarkan kuasa Barat tradisional.
“Aspek ini amat penting bagi menentukan sama ada dasar AS terhadap China benar-benar boleh kembali kepada objektiviti dan rasional,” katanya.
Selain itu, Wang Yi turut menggesa AS menarik semula sekatan berbentuk unilateral terhadap China.
Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping berharap lawatan Blinken ke China akan memberi sumbangan positif untuk memperbaiki hubungan antara Beijing dan Washington.
“Interaksi antara negara harus sentiasa berdasarkan rasa hormat dan keikhlasan antara sesama.
“Saya berharap menerusi lawatan Blinken ia dapat memberi sumbangan positif untuk membolehkan hubungan China-AS terus stabil,” katanya.