WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menzahirkan kebimbangan berhubung perancangan Korea Utara untuk menghantar lebih banyak senjata ke Russia.
Perkara itu dinyatakan jurucakap Jabatan Negara AS kelmarin selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berikrar untuk meningkatkan kerjasama strategik dengan Moscow.
Menurutnya, biarpun Pyongyang berkeras menafikan mereka menjual senjata kepada Russia untuk perang di Ukraine, namun AS mengesahkan Koera Utara sudah pun menghantar sebahagian senjata ke Moscow.
Washington mendakwa, antara senjata yang dihantar Pyongyang ke ke Moscow termasuk roket infantri dan peluru berpandu.
“Kami bimbang jika Korea Utara merancang menghantar lebih banyak senjata dan peralatan ketenteraan ke Russia,” jelas jurucakap tersebut.
Terdahulu, agensi berita Korea Utara, KCNA melaporkan Jong-un menyatakan ikrar itu melalui pesanan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin.
Laporan KCNA, Jong-un mahu kerjasama strategik yang lebih erat dengan Moscow dan saling ‘berpimpin tangan’ dengan Putin, seiring dengan hasrat rakyat kedua-dua negara untuk memenuhi matlamat besar membina negara yang berkuasa.
Korea Utara berusaha untuk menjalin hubungan yang lebih erat bersama Kremlin dan menyokong Moscow selepas ia menyerang Ukraine tahun lalu, dengan menyalahkan dasar memperluaskan pengaruh dan keangkuhan AS serta negara Barat.
Pada Mac lalu, AS menjelaskan mereka mempunyai maklumat baharu bahawa Russia sedang giat berusaha mendapatkan senjata tambahan dari Korea Utara sebagai pertukaran untuk bantuan makanan. – REUTERS