Air mata keinsafan, syukur tumpah di Arafah

Air mata keinsafan, syukur tumpah di Arafah

PARA jemaah haji berhimpun di Bukit Arafah untuk ibadah wukuf sebelum bergerak ke Muzdalifah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINA: Himpunan lebih 2.5 juta jemaah di Bukit Arafah bagi melakukan rukun wukuf menandakan ibadah haji tahun ini semakin hampir ke penghujungnya.

Beberapa jam sebelum itu, bergema suara para jemaah membaca Talbiyah, iaitu niat dan doa mereka untuk menunaikan haji kerana Allah SWT.

Jemaah haji lelaki mengenakan kain ihram, manakala jemaah wanita menyarung jubah serta abaya sambil melaungkan kalimah ‘Labbaik Allahumma Labbaik’.

SEORANG jemaah haji tidak dapat menahan air mata ketika berdoa di Bukit Arafah semasa ibadah wukuf. – AFP

Mengikut tradisi Nabi Muhammad SAW, para jemaah menghabiskan hari pertama haji yang dipanggil Hari Tarwiyah untuk memohon keampunan dari Allah SWT, kemudian mendirikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak sebelum membuat persiapan untuk wukuf.

Selepas menunaikan solat Subuh, para jemaah bertolak ke Bukit Arafah yang menjadi tempat Rasulullah menyampaikan khutbah terakhirnya lebih 1,400 tahun lalu.

 

PENUH KESYUKURAN

Kebanyakan jemaah haji yang ditemukan menzahirkan rasa penuh syukur dapat menyelesaikan ibadah haji tahun ini dengan lancar dan tenang.

Mohammed Hammad dari Nigeria berkata, dia berasa amat gembira berpeluang menunaikan haji dengan skala penuh tahun ini selepas pandemik Covid-19 menyekat pergerakan penduduk seluruh dunia.

“Saya berasa gembira dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Inilah peluang terbaik untuk saya memohon keampunan atas semua dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Jemaah dari Afghanistan, Mohammed Nauman pula menyatakan tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaannya ketika menjejakkan kaki ke tanah suci.

“Saya datang dari negara yang bergolak ketika ini, dapat jejakkan kaki ke tanah suci merupakan peluang yang amat berharga.

“Mungkin ini adalah peluang pertama dan terakhir saya datang ke rumah Allah, terima kasih ya Allah, semoga ada peluang lagi untuk saya jejak kaki di sini,” katanya sambil mengalirkan air mata.

 

CUACA PANAS BUKAN PENGHALANG

Dalam pada itu, suhu panas sehingga 46 darjah Celsius tidak menghalang para jemaah menunaikan ibadah haji dengan penuh khusyuk.

Abdulhafeed al-Hamada dari Sweden memuji semua perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkua Arab Saudi.

“Ini merupakan kali pertama saya mengerjakan haji. Saya gembira kerana semuanya berjalan lancar, dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Arab Saudi kerana memudahkan urusan haji pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, para jemaah juga menyifatkan suhu panas di tanah suci ketika ini hanyalah bersifat sementara dan peluang menunaikan haji perlu diutamakan.

 

PERJALANAN KE MUZDALIFAH

Selesai melakukan wukuf, para jemaah berangkat ke Muzdalifah iaitu kawasan pertengahan antara Arafah dan Mina, untuk bermalam di sana.

Keesokan harinya, mereka dijangka menyempurnakan ibadah melontar menggunakan batu kerikil di tiga Jamrah melambangkan lontaran batu ke arah syaitan.

Selain itu, jemaah yang berkemampuan boleh melakukan ibadah korban dan berkongsi daging dengan golongan yang memerlukan.

Para jemaah kemudiannya berangkat semula ke Mekah untuk melakukan tawaf Wida dan ibadah haji berakhir secara rasmi. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya