TAIPEI: Lebih 30 jet pejuang China memasuki zon pertahanan udara Taiwan dalam tempoh kira-kira enam jam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan ketika negara itu berdepan lonjakan mendadak pencerobohan tentera China dalam tempoh sehari.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Sun Li-Fang mengesahkan sebanyak 37 pesawat tentera China memasuki barat daya Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ).
Jelasnya, pesawat tentera itu menceroboh ruang udara berkenaan bermula dari pukul 5 pagi (waktu tempatan).
“Ada pesawat yang meneruskan ke arah Pasifik Barat untuk latihan peninjauan jarak jauh,’ katanya.
China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berjanji untuk merampas semula suatu hari nanti.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China meningkatkan provokasi terhadap Taiwan termasuk pencerobohan pesawat perang ke kawasan ADIZ negara itu beberapa kali. – AFP