BALASORE: Sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh dan 900 lagi cedera dalam nahas membabitkan pelanggaran dua kereta api penumpang di Odisha, India.
Pegawai kerajaan di negeri timur India itu menyifatkan insiden itu sebagai nahas kereta api terburuk dalam tempoh lebih sedekad.
Menurut Ketua Setiausaha kerajaan negeri, Pradeep Jena dalam ciapan memaklumkan angka kematian dijangka meningkat lagi.
Katanya, lebih 200 ambulans dan 180 anggota perubatan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian yang berlaku di daerah Balasore, Odisha.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat sedang memanjat sebuah gerabak kereta api yang remuk untuk mencari mangsa yang masih hidup.
Dalam video itu, ramai penumpang dilihat menjerit meminta bantuan selain menangis teresak-esak berhampiran bangkai kereta api itu.
Nahas itu berlaku kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) semalam apabila kereta api Howrah Superfast Express dalam perjalanan dari Banglore ke Howrah, Benggala Barat bertembung dengan Coromandel Express dari Kolkata ke Chennai. – REUTERS