NEW YORK: Seorang wanita dalam perbicaraan sivil di mahkamah di New York mendakwa bekas presiden, Donald Trump pernah melakukan gangguan seksual terhadapnya ketika berada dalam pesawat di Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun 1970an.
Jessica Leeds membuat dakwaan itu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rogol dan saman fitnah wartawan, E Jean Carroll terhadap bekas presiden AS itu.
Bagaimanapun, Trump menafikan semua dakwaan serangan seksual terhadapnya, malah setakat ini hartawan itu juga tidak pernah didakwa atas sebarang tuntutan sedemikian.
Jessica memberitahu mahkamah Persekutuan Manhattan bahawa Trump pernah meletakkan tangannya di atas skirt dipakainya ketika sedang duduk di tempat duduk kelas perniagaan dalam penerbangan ke New York antara tahun 1978 dan 1979.
“Tiada perbualan langsung. Situasi itu berlaku di luar jangkaan.
“Dia cuba mencium saya malah turut meraba payudara saya,” kata Jessica yang kini berusia 81 tahun.
Jessica pertama kali membuat dakwaan demikian dalam satu temubual bersama New York Times beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2016 yang memberi kemenangan kepada Trump.
Ketika itu, beberapa wanita tampil menuduh Trump melakukan salah laku seksual menjelang hari pengundian.
Jessica kemudian secara terbuka mendedahkan dakwaan itu selepas Trump menyangkal dakwaan serangan seksual semasa sesi perdebatan dengan calon presiden, Hillary Clinton.
“Saya berasa amat marah kerana dia berbohong,” katanya ketika memberi keterangan.
Jessica dipanggil untuk memberi keterangan oleh peguam Jean dalam usaha mendedahkan kepada barisan juri kononnya Trump terlibat salam salah laku seksual.
Jean, 79, memfailkan saman terhadap Trump dengan mendakwa bekas presiden itu melakukan serangan seksual terhadapnya di sebuah bilik persalinan di gedung mewah, Bergdorf Goodman di Manhattan pada pertengahan 1990-an. – AFP