LONDON: Dalam usaha mengurangkan tekanan dan stres pelajar, Universiti Cambridge menawarkan aktiviti seni mewarna dan membina blok permainan Lego kepada golongan itu ketika musim peperiksaan semakin hampir.
Lapor Daily Mail, pelbagai aktiviti diperkenalkan di kebanyakkan perpustakaan di universiti berprestij itu dengan tujuan menyediakan `sokongan sosial’ bagi menjamin kesejahteraan pelajarnya.
Memetik laporan The Times, sebuah perpustakaan kolej juga tampil menyediakan khidmat tata rias kuku, kelas yoga dan teknik menyulam kepada para pelajarnya.
Menurut pihak pengurusan universiti, beberapa bukti menunjukkan aktiviti yang `menggalakkan kesedaran dan merehatkan minda’ mampu membantu mengurangkan tekanan dialami oleh pelajar.
Pengurusan universiti mempertingkatkan program sokongan sosial itu selepas insiden kematian enam pelajarnya pada tahun lalu.
Hampir semua mangsa itu dipercayai membunuh diri dalam tempoh empat bulan.
Selain permainan lego, pengurusan universiti juga menawarkan permainan Scrabble, Dobble dan Linkee untuk membantu pelajar mengatasi tahap tekanan mereka.
Malah, perpustakaan Marshall di universiti terbabit juga membenarkan pelajar kampus itu membelai kucing bernama Jasper untuk mengurangkan tekanan dan stres.