GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran mengenai kemungkinan besar fenomena cuaca El Nino berkembang dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus meningkatkan suhu global yang lebih tinggi dan kemungkinan mencatat rekod kepanasan baharu.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menganggarkan sekitar 60 peratus kemungkinan El Nino akan berkembang menjelang akhir Julai, sementara 80 peratus peluang fenomena itu berlaku menjelang akhir September.
PENINGKATAN SUHU GLOBAL
El Nino adalah corak iklim yang berlaku secara semula jadi biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia dengan kemarau di beberapa tempat sementara hujan lebat di kawasan lain.
Fenomena itu kali terakhir direkodkan pada tahun 2018 hingga 2019.
PBB berkata, lapan tahun terakhir adalah yang paling panas pernah direkodkan, biarpun kesan penyejukan La Nina meredakan hampir separuh daripada tempoh itu.
Tanpa fenomena cuaca itu, keadaan pemanasan mungkin bertambah buruk.
“La Nina bertindak sebagai brek sementara pada peningkatan suhu global.
“Pembangunan El Nino berkemungkinan besar akan membawa kepada peningkatan baharu dalam pemanasan global dan meningkatkan peluang untuk memecahkan rekod suhu”, kata Ketua WMO, Petteri Taalas dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, tiada petunjuk tentang kekuatan atau tempoh sebenar El Nino akan berlaku.
CUACA LEBIH EKSTREME
Empat tahun lalu, fenomena itu dianggap lemah, tetapi antara 2014 dan 2016, dianggap kuat dengan akibat yang teruk.
WMO menegaskan bahawa 2016 adalah tahun paling panas dalam rekod kerana peristiwa El Nino yang sangat kuat dan pemanasan akibat manusia daripada gas rumah hijau.
“Memandangkan kesan El Nino ke atas suhu global biasanya berlaku pada tahun selepas ia muncul, kesannya mungkin paling ketara pada 2024. Dunia harus bersedia untuk perkembangan El Nino.
“Fenomena ini mungkin membawa kelegaan terhadap kemarau dan kesan lain yang berkaitan dengan La Nina di Tanduk Afrika, tetapi boleh mencetuskan lebih banyak kejadian cuaca dan iklim yang melampau. Justeru kita perlu menekankan keperluan untuk sistem amaran awal yang berkesan bagi memastikan penduduk selamat,” kata Taalas.
Jelasnya, tiada dua peristiwa El Nino yang sama dan kesannya bergantung kepada masa dalam setahun namun perkhidmatan meteorologi negara akan sentiasa memantau perkembangan dengan teliti.
Corak iklim berlaku secara purata setiap dua hingga tujuh tahun dan biasanya berlangsung selama sembilan hingga 12 bulan.
Ia biasanya dikaitkan dengan pemanasan suhu permukaan lautan di tengah dan timur kawasan tropika Lautan Pasifik.
Menurut Taalas, peningkatan hujan biasanya dilihat di bahagian selatan Amerika Selatan, selatan Amerika Syarikat (AS), Tanduk Afrika dan Asia Tengah, manakala kemarau teruk boleh berlaku di Australia, Indonesia serta sebahagian Asia Selatan.
Katanya, semasa musim panas di hemisfera utara, El Nino juga boleh mencetuskan taufan di tengah dan timur Lautan Pasifik, sambil menghalang pembentukan cuaca sama di Atlantik.-AFP