KYIV: Kumpulan tentera upahan Wagner Russia mendakwa berjaya meraih kemenangan di bandar Bakhmut di timur Ukraine selepas pertempuran sengit yang berlangsung selama lebih lapan bulan.
Walaupun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menafikan bahawa Bakhmut sudah jatuh ke tangan Moscow, ahli perniagaan Russia dan Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin mendakwa sebaliknya dalam pesanan suara kepada 420,000 pengikut Telegramnya.
“Tidak ada seorang pun tentera Ukraine di perkampungan Bakhmut, kerana kami sudah berhenti mengambil tawanan.
“Terdapat sejumlah besar mayat tentera Ukraine. Bakhmut diambil sepenuhnya di sepanjang semua sempadan undang-undangnya, hingga sentimeter terakhir.
“Zelensky tidak jujur, atau dia, seperti pemimpin tentera kita, langsung tidak menyedari apa yang berlaku di lapangan,” katanya.
Melalui kenyataan perkhidmatan akhbar rasmi Kremlin, Presiden Russia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada tentera Russia dan kumpulan upahan Wagner atas penawanan bandar itu yang digelar Artemovsk oleh Moscow.
Rakaman di kedua-dua saluran televisyen Russia dan Telegram menunjukkan bendera Russia berkibar dari atas bumbung bangunan pangsapuri yang masih berdiri di antara runtuhan bandar Bakhmut.
Satu lagi video di saluran berkenaan turut menunjukkan sekumpulan tentera upahan menembak senjata mereka ke udara dengan bendera rasmi Wagner berkibar di belakang mereka.
Seorang tentera upahan bertopeng yang ditemuramah wartawan membandingkan pengalaman itu dengan Perang Dunia Kedua.
Satu artikel oleh agensi berita milik kerajaan, RIA Novosti mengenai pembebasan Bakhmut menyalahkan tentera Ukraine sebagai pihak bertanggungjawab terhadap korban orang awam di bandar itu selama pertempuran tercetus.
“Sebelum konflik bermula, lebih 70,000 orang tinggal di sini. Kebanyakannya sudah meninggalkan bandar ini. Menurut pelarian itu, askar Ukraine sengaja melepaskan tembakan ke arah orang awam,” kata laporan itu.
Artikel itu memberi jaminan bahawa, walaupun terdapat propaganda Ukraine, kubu Bakhmut sememangnya sudah runtuh, sekali gus membolehkan tentera Russia berpindah ke bandar berdekatan Chasiv Yar.-AGENSI