RIYADH: Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Abdulrahman Al-Fadhli menandatangani perjanjian bagi membeli lima pesawat untuk Program Pembenihan Awan Serantau.
Daripada jumlah itu, empat pesawat bakal digunakan untuk pembenihan awan, manakala satu lagi diperuntukkan untuk penyelidikan dan kajian cuaca serta iklim.
Memetik laporan Saudi Gazette, pesawat berkenaan adalah yang terkini seumpamanya dan dilengkapi teknologi diperlukan.
Al-Fadhli menegaskan projek pembelian pesawat pembenihan awan bertujuan membina kapasiti domestik, memindahkan pengetahuan setempat, memastikan kemampanan perniagaan, meningkatkan tahap liputan dan kecekapan pembenihan awan, serta mengurangkan kos yang disertakan bagi operasi pesawat dengan menyediakan pesawat persendirian dilengkapi keupayaan dan teknik pembenihan awan.
Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Alam Sekitar, Dr Osama Faqiha, mengesahkan Arab Saudi adalah negara kedua di dunia yang memiliki pesawat penyelidikan seperti itu, sambil menyatakan program pembenihan awan industri bertujuan meningkatkan sumber air, membangunkan tumbuh-tumbuhan, dan mendapat manfaat daripada sumber air yang boleh diperbaharui.
Bagi pihaknya, Ketua Pegawai Eksekutif NCM, Dr Ayman Ghulam, menyatakan program itu menamatkan fasa ketiganya dan sedang bersedia untuk melancarkan yang keempat, menunjukkan bahawa keputusan operasi program itu melebihi kadar kejayaan 97 peratus.
Ghulam berkata kajian awal hujan yang terhasil daripada tiga fasa menunjukkan kerpasan 3.5 bilion meter padu air di kawasan sasaran, mengikut ukuran hujan di kawasan berkenaan.
Katanya, dalam tiga peringkat pertama, program itu menyelesaikan 626.67 jam penerbangan melalui 190 misi pembenihan awan, menggunakan 3,405 penunu di kawasan sasaran.
Operasi untuk fasa pertama program pembenihan awan dilancarkan pada 27 April 2022, untuk meningkatkan paras hujan, mewujudkan sumber air baharu, meningkatkan ruang hijau dan mempergiatkan tumbuh-tumbuhan dan mengurangkan kemarau.