LONDON: Satu program tanaman tumbuhan menggalakkan para tukang kebun di United Kingdom (UK) menanam sejenis tumbuhan hiasan yang boleh tahan dengan cuaca ekstrem, termasuk musim panas.
Sehubungan itu, Persatuan Hortikultur Diraja (RHS) mengesyorkan tukang kebun menanam tumbuhan tersebut memandangkan Britain ketika ini berdepan cuaca panas dan kering yang melampau.
Namun, Euphorbia myrsinites yang juga dikenali sebagai myrtle spurge boleh menyebabkan kesakitan teruk ‘seolah-olah rasa mahu bersalin’ jika tersentuh cecair toksik berwarna putih yang dikeluarkannya.
Cecair putih itu kelihatan seperti lateks dan disenaraikan oleh RHS sebagai tumbuhan yang mempunyai potensi bahaya.
“Justeru, pastikan anda memakai sarung tangan ketika mengendalikan tumbuhan itu,” jelas laporan yang dipetik Daily Mail.
Dalam pada itu, kolumnis Financial Times, Robin Lane Fox mendakwa rasa sakit dialami akibat terkena cecair tumbuhan itu di bahagian mata adalah sama seperti mahu melahirkan anak.
“Atas sebab itu, tumbuhan hiasan itu tidak ditanam di taman saya,” katanya.
Sementara itu, RHS menerusi laman sesawang memaklumkan semua bahagian tumbuhan berkenaan sangat bertoksik dan tidak selamat dimakan.
Namun, menurut RHS, cecair daripada tumbuhan itu hanya `mungkin’ merengsakan kulit dan mata.