Profesor cipta rekod tinggal bawah air selama 74 hari

Profesor cipta rekod tinggal bawah air selama 74 hari

JOSEPH Dituri berada di dalam Jules Undersea Lodge di Key Largo, Florida. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TALLAHASSEE: Seorang profesor di Universiti Florida Selatan, Amerika Syarikat (AS) berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi kategori tinggal di bawah air paling lama tanpa tekanan ketika menjalankan penyelidikan di dasar laut.

Lapor The Guardian, Joseph Dituri, mencipta rekod baharu itu dengan tinggal di sebuah rumah persinggahan untuk penyelam skuba di Florida Keys.

Dituri menetap di Jules Undersea Lodge selama 74 hari sejak memasuki rumah persinggahan itu pada 1 Mac lalu.

Dilaporkan, Jules Undersea Lodge terletak pada kedalaman kira-kira sembilan meter di dasar laut.

Sepanjang tempoh berkenaan, Dituri yang dikenali sebagai Dr. Deep Sea mengamalkan makanan berprotein tinggi iaitu telur dan salmon yang dimasak dalam ketuhar gelombang mikro, selain melakukan senaman setiap hari dan tidur selama sejam.

Dituri berjaya memecahkan rekod dipegang oleh dua profesor dari Tennessee, Bruce Cantrell dan Jessica Fain pada tahun 2014.

Ketika itu, Cantrell dan Fain mencatatkan rekod selama 73 hari, dua jam dan 34 minit di lokasi yang sama.

Sementara itu, Dituri berkata, dia merancang untuk tinggal di Jules Undersea Lodge sehingga 9 Jun depan bagi melengkapkan misi 100 hari bawah air yang digelar Projek Neptune 100.

Katanya, misi itu menggabungkan penyelidikan perubatan dan lautan bersama dengan jangkauan pendidikan yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Sumber Marin.           

“Rekod ini adalah lonjakan kecil dan saya sangat menghargainya. Saya berbesar hati untuk mendapatnya namun kita masih perlu melakukan banyak lagi,” katanya yang memegang ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan bioperubatan.

Sepanjang 74 hari itu, Dituri turut mengendalikan kelas dalam talian yang diikuti lebih 2,500 pelajar dan menyiarkan wawancara dari studio digitalnya di bawah laut.     

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya