JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menyifatkan Malaysia sebagai kampung halaman keduanya dan akan berusaha mengukuhkan hubungan antara dua negara.
Lapor CNN Indonesia, perkara itu disampaikan Prabowo ketika menghadiri acara himpunan nasional di Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat.
Awalnya, Prabowo menghargai jemputan Ketua Umum Badan Komunikasi Pemuda Masjid Indonesia (BKPRMI), Said Aldi Al Idrus dan mendedahkan beliau sering bertemu Said Aldi di Malaysia.
“Hadirin, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan BKPRMI.
“Said Aldi adalah tokoh yang cuba mengukuhkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia. Hubungan rapat kedua-dua negara adalah sesuatu yang terus diperjuangkan.
“Indonesia dan Malaysia sebenarnya seperti adik beradik. Saya juga sebahagian daripada itu kerana sewaktu kecil saya dibesarkan di Malaysia,” katanya.
Prabowo kemudiannya menggelar Malaysia sebagai kampung halaman keduanya.
“Jadi bagi saya, Malaysia adalah kampung halaman kedua. Apabila saya pergi ke Malaysia, rasanya seperti pulang ke kampung,” tambahnya.