JAKARTA: Jabatan Polis Metro Jaya mengingatkan golongan belia di bandar raya ini supaya tidak melepak sehingga larut malam kerana dibimbangi mencetuskan masalah.
Ketua Polis Metro Jaya, Karyoto berkata, golongan belia, terutamanya remaja perlu peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa ingat pukul berapa untuk pulang ke rumah.
“Jangan suka-suka melepak tanpa arah tujuan dan akhirnya boleh mencetuskan kekacauan dalam kalangan masyarakat.
“Sentiasa beringat bila mahu pulang ke rumah, tidak perlu keluar sehingga larut malam,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Jelas Karyoto, jika terdapat lebih lima remaja berkumpul, situasi itu boleh cetuskan gangguan keamanan masyarakat sekeliling.
Katanya, lebih ramai remaja yang melepak, ‘lebih banyak idea nakal’ boleh dikeluarkan dan akhirnya mencetuskan kekacauan.
“Lagi ramai melepak, lagi banyak idea jahat yang mereka keluarkan, ada sahaja perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Ingin saya ingatkan bahawa keamanan sejagat bukan hanya tugas pihak berkuasa, masyarakat daripada segenap lapisan turut memainkan peranan.
“Masyarakat juga boleh bantu pasukan keselamatan mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat,” ujar Karyoto.