Pertabalan Raja Charles III berlangsung meriah - Utusan Malaysia

Pertabalan Raja Charles III berlangsung meriah

RAJA Charles III dan Ratu Consort Camilla menaiki kereta kuda jubli intan dari Istana Buckingham menuju ke Westminster Abbey sebelum istiadat pertabalan dimulakan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Raja Charles III ditabalkan sebagai Raja Britain di Westminster Abbey di London dalam upacara penuh gilang gemilang yang dikendalikan oleh Uskup Agung Canterbury, Justin Welby serta disaksikan oleh jutaan warga di seluruh dunia.

Istiadat pertabalan Raja Charles III dan Ratu Camilla menyaksikan gabungan menarik antara adat tradisi berusia 1,000 tahun lalu, bersama upacara moden yang menggambarkan kepelbagaian kepercayaan dan budaya di Britain.

ISTIADAT BERSEJARAH

Laungan ‘God Save the King’ kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas dimahkotakan ke atas Raja Charles III oleh Welby.

Perarakan ke Biara Westminster bermula kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) melibatkan 200 anggota dan kuda di mana pasangan diraja itu dibawa menaiki kereta kuda jubli intan melepasi gerbang Istana Buckingham.

Istiadat pertabalan sejak berabad lalu itu, diubah suai dengan keperluan semasa yang mana upacara buat pertama kalinya merangkumi perarakan pemimpin-pemimpin agama.

Seramai 7,000 anggota tentera daripada 19 pasukan menyertai perbarisan sepanjang perarakan yang menyaksikan jumlah paling ramai dalam sejarah sejak pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953.

Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara yang diberi penghormatan untuk menyertai pasukan negara Komanwel dalam perbarisan berkenaan.

Kontinjen ATM yang diwakili Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) menyertai perbarisan tersebut sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan).

Turut berlangsung, upacara penyampaian alat kebesaran diraja yang bersejarah kepada Raja Britain yang baharu, termasuk tongkat kerajaan dan cokmar serta cincin dan sudu yang mencerminkan kepelbagaian rakyat negara itu.

DUNIA TERUJA

Majlis itu diakhiri dengan penampilan balkoni keluarga Diraja memberikan lambaian ikonik kepada tetamu dan rakyat yang menyaksikan pertabalan pertama dalam tempoh 70 tahun itu.

Perdana Menteri, Rishi Sunak, berkata, isitiadat itu menjadi detik kebanggaan luar biasa dalam sejarah, budaya dan tradisi negara itu.

“Satu demonstrasi jelas mengenai moden negara kita dan upacara yang amat dihargai dan tidak akan dilupakan di mana era baru dilahirkan,” katanya.

Upacara bersejarah itu disertai kira-kira 100 pemimpin negara dan orang kenamaan yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dari Westminster Abbey.

Sebagai Raja Britain, Raja Charles III yang juga Gabenor Tertinggi Gereja England dengan gelaran ‘Pelindung Kepercayaan’, sebelum ini, mempertahankan kedudukannya yang ingin menjadi pembela semua agama.

Raja Charles III sering menekankan komitmennya terhadap pelbagai agama antaranya Kristian, Yahudi, Islam, Buddha dan Sikh.

Keprihatinan Raja Charles terhadap alam semula jadi juga diterjemahkan dalam pakaian isterinya, Ratu Consort Camilla, yang turut  ditabalkan sebagai Permaisuri pada hari yang sama dalam istiadat berasingan.

Ribuan pelancong seluruh dunia juga tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah dan dilaporkan mula membanjiri kota London sejak Khamis lalu.

Tidak sampai 48 jam sebelum istiadat bersejarah itu berlangsung, pelancong yang sudah tiba mula memenuhi pekarangan kawasan Istana Buckingham dengan memasang khemah semata-mata untuk mendapatkan pemandangan terbaik semasa menyaksikan acara itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya