SEOUL: Sekumpulan lapan perompak berputih mata apabila ditangkap ketika hampir berjaya mencuri minyak dari saluran paip bawah tanah setelah lebih sebulan menggali terowong rahsia dari sebuah hotel yang disewa mereka di wilayah Chungcheong Utara.
Agensi Berita Yonhap baru-baru ini melaporkan penahanan lapan penjenayah berkenaan yang menyewa keseluruhan bilik di sebuah hotel di Cheongju dan menghabiskan masa sebulan untuk menggali terowong bawah tanah rahsia dari hotel berkenaan ke saluran paip minyak berhampiran.
“Rancangan itu dipercayai didalangi oleh bekas pekerja syarikat pengendali saluran paip milik kerajaan, Daehan Oil Pipeline Corporation yang sebelum ini dipecat kerana cuba mencuri minyak dari saluran paip lain.
“Kumpulan itu menghabiskan sebahagian besar hari mereka menggali menggunakan peralatan asas seperti penyodok untuk mengelak bunyi kuat yang boleh menarik perhatian orang ramai.
“Dipercayai mereka meninjau hotel berkenaan sejak beberapa bulan sebelum mendekati pemiliknya dan membuat helah kononnya mereka berminat mengambil alih perniagaan itu,” jelas laporan itu.
Kumpulan perompak licik itu membayar sekitar 4.5 juta won (RM15,010) kepada pemilik hotel sebelum menutup bangunan itu dan mula menggali di ruang bawah tanah bangunan tersebut.
Dalam masa kira-kira sebulan, lapan penjenayah itu berjaya menggali kira-kira 10 meter, dan berada dalam jarak 30 sentimeter (sm) dari saluran paip minyak tersebut namun belum sempat mereka memperoleh hasilnya, hotel itu diserbu dan mereka semua ditangkap.
Terowong itu dilaporkan hanya diperkuatkan dengan kayu melepasi bawah lebuh raya yang digunakan oleh 66,000 kenderaan setiap hari, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengisi terowong itu sambil memastikan usaha itu tidak merosakkan asas bangunan hotel berkenaan.
“Terowong sepanjang 10 meter itu berukuran 78 sm tinggi dan 81 sm lebar dari ruang bawah tanah hotel.
“Suspek mengaku semasa siasatan polis bahawa mereka bercadang untuk menjual minyak itu di dua stesen minyak, tetapi rancangan itu gagal,” tambah laporan itu.