LABUAN BAJO: ASEAN menyuarakan kebimbangan serius terhadap konflik dan keganasan yang berterusan di Myanmar biarpun sudah hampir dua tahun berlakunya rampasan kuasa di negara itu.
Malah, blok itu juga mengutuk serangan bersenjata terhadap konvoi diplomat yang menyampaikan bantuan kemanusiaan di negara itu, baru-baru ini.
Pemimpin ASEAN dalam satu kenyataan menggesa semua bentuk keganasan dihentikan serta-merta.
“Kami amat bimbang dengan keganasan yang berlanjutan di Myanmar.
“Oleh itu, kami mendesak segala bentuk keganasan dan penggunaan kekerasan dihentikan dengan segera.
“Ia amat penting bagi mewujudkan persekitaran kondusif agar membolehkan pengagihan bantuan kemanusiaan secara selamat dan pantas selain dialog nasional yang inklusif dapat dijalankan,” jelas kenyataan itu.
Krisis yang berlaku di Myanmar mendominasi perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 yang berlangsung di Indonesia.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, dengan tindakan keras junta terhadap perbezaan pendapat yang mencetuskan kekacauan sosial dan bencana ekonomi.
Blok itu kerap dikritik kerana dianggap gagal mengambil tindakan lanjut.
ASEAN pernah mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis yang semakin buruk namun ia gagal membendung pertumpahan darah yang dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera.
Junta mengabaikan kritikan antarabangsa dan enggan terlibat dengan penentangnya, termasuk penggubal undang-undang yang digulingkan, Pasukan Pertahanan Rakyat dan kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Tekanan ke atas blok itu meningkat selepas konvoi ASEAN yang membawa diplomat dan pegawai diserang ketika membawa bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Selain itu, pemimpin ASEAN turut mengutuk serangan itu dan menegaskan dalang terlibat harus bertanggungjawab.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meluahkan keyakinan bahawa blok ASEAN mampu menangani cabaran global yang semakin meningkat sekiranya kesemua negara anggota itu bersama.
“Dengan perpaduan, ASEAN akan dapat memainkan peranan penting dalam membawa keamanan,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak itu. – AFP