PONTIANAK: Pemangku Ketua Parti Golkar Kubu Raya, Kalimantan Barat, M Iqbal Zafarullah disyaki membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Kapuas kelmarin.
Selepas dua hari pencarian, jenazah Iqbal ditemukan kira-kira 3 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan terjun ke dalam sungai.
Tribunnews melaporkan, Iqbal sebelum itu nekad terjun ke dalam sungai tersebut selepas memandu kenderaan secara berbahaya bersama isterinya.
Seorang saksi memberitahu, dia melihat sebuah kenderaan dipandu laju sebelum memasuki kawasan perlombongan pasir.
“Kenderaan itu dipandu sangat laju dan hampir melanggar jentera yang ada di kawasan lombong.
“Kenderaan itu kemudiannya berhenti dan saya melihat seorang lelaki turun dari kenderaan terbabit lalu terjun ke dalam sungai.
“Seorang wanita yang berada di dalam kenderaan itu kelihatan terkejut dan menjerit,” kata saksi berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kubu Raya, Arief Hidayat memaklumkan, insiden itu berlaku selepas Iqbal mendaftar sebagai calon anggota legislatif.
Katanya, pasukan polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai kes bunuh diri melibatkan anggota Parti Golkar.
Selain itu, Ketua Parti Golkar Kalimantan Barat, Maman Abdurrahman menegaskan insiden yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan politik.
Hal ini kerana, Maman memaklumkan, proses pendaftaran calon legislatif berjalan lancar.
“Saya mohon kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi mengenai insiden yang berlaku.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” jelasnya.