Pelawak didenda RM9.4 juta persenda tentera China

Pelawak didenda RM9.4 juta persenda tentera China

PELAWAK, Li Haoshi (kiri) ditamatkan kontrak selepas membuat jenaka mempersendakan pasukan tentera negara China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah kumpulan pelawak di China didenda 14.7 juta yuan (RM9.49 juta) kerana membuat jenaka mempersendakan pasukan tentera negara itu menggunakan slogan dari Presiden, Xi Jinping dalam satu persembahan baru-baru ini.

Lapor BBC, gurauan yang disifatkan berbaur sindiran itu dibuat oleh seorang daripada pelawak kumpulan itu, Li Haoshi ketika mengadakan persembahan di Beijing Sabtu lalu, apabila dia cuba berjenaka mengenai tingkah laku dua ekor anjingnya yang sedang mengejar seekor tupai.

“Anjing lain yang anda lihat akan membuatkan anda fikir mereka comel. Tetapi kedua-dua anjing ini hanya mengingatkan saya tentang slogan ‘berjuang untuk menang, tunjukkan tingkah laku yang boleh dicontohi’,” kata Haoshi dalam persembahan itu.

Jenaka Hoashi itu menyebut sebahagian daripada slogan yang digunakan Jinping pada 2013 sebagai matlamat utama pasukan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Dalam rakaman yang dikongsi di laman Weibo, penonton dilihat ketawa mendengarnya, namun selepas rakaman tersebut tular dan mendapat perhatian media tempatan, beberapa kumpulan nasionalis mengadu tersinggung dengan jenaka itu.

Pihak berkuasa Beijing dilaporkan segera melancarkan siasatan dan bertindak menyaman Haoshi dan Shanghai Xiaoguo Culture Media Co. yang menganjurkan persembahan itu serta mengarahkan syarikat tersebut digantung sementara.

“Kami tidak akan sekali-kali membenarkan mana-mana syarikat atau individu menggunakan ibu negara China sebagai pentas untuk memfitnah imej kegemilangan PLA secara sewenang-wenangnya,” kata Kementerian Kebudayaan dan Biro Pelancongan China dalam satu kenyataan.

Haoshi yang menggunakan nama pentas House kemudian memohon maaf kepada lebih 136,000 pengikutnya di laman Weibo dan menyesali ketelanjuran itu selepas kontraknya dengan syarikat tersebut ditamatkan serta merta.

“Saya berasa amat malu dan menyesal. Saya akan bertanggungjawab, menghentikan semua aktiviti, merenung secara mendalam dan belajar dari kesilapan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya