PADANG: Seorang lelaki warga emas dari Lubuk Begalung, Padang, Sumatera Barat terkejut apabila diberhentikan kerja di kilang getah selepas menyerahkan surat cuti bagi menunaikan ibadah haji.
Anwar Chan, 67, dan isterinya, Martini bakal berlepas ke tanah suci Mekah pada awal Jun ini selepas nama mereka terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
Pasangan suami isteri itu termasuk dalam kumpulan jemaah pertama yang berangkat ke tanah suci.
“Saya pada mulanya menyerahkan surat cuti berkenaan kepada pihak pengurusan untuk menunaikan haji.
“Namun, saya terkejut selepas menerima surat pemberhentian kerja,” katanya.
Anwar yang sudah berkhidmat selama 46 tahun di kilang tersebut tidak pasti sebab utama dia diberhentikan.
Katanya, dia dan isterinya perlu masuk ke asrama haji Padang pada minggu lalu, menyebabkan dia menyerahkan surat permohonan cuti berkenaan.
“Jika ada apa-apa masalah, beritahu saya, maklumkan dekat saya kenapa saya diberhentikan.
“Sehingga kini, saya juga masih belum terima gaji akhir,” ujarnya.
Dalam pada itu, kilang getah tersebut, PT Family Raya memaklumkan mereka tidak memberhentikan Anwar, sebaliknya sudah tiba masanya lelaki itu bersara.
Jurucakapnya, Riki berkata, usia Anwar sudah pun masuk usia untuk bersara.
“Usia pencen adalah 59 tahun dan Anwar kini berusia 67 tahun, jadi syarikat menbuat keputusan bahawa dia sudah boleh bersara dan bukannya diberhentikan,” jelasnya.